Saturday, April 4, 2009

hadiah untukku...

Pejam celik, pejam celik, cepat sungguh masa berlalu. Dari seorang insan yg kerdil, melalui liku-liku hidup untuk mematangkan diri. Kejap je sudah 20 tahun, rasa macam baru setahun je hidup, tapi itulah kehidupan. Thanx kat kawan-kawan yang wish =)

Syukur sangat pada Allah kerana masih memberi peluang untuk terus membaiki diri ini. Memang tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini, tetapi yang lebih baik ialah kita mengejar ke arah kesempurnaan.

Pagi-pagi lagi sudah diberi ujian oleh Nya. Berulang kali terjaga dari tidur, terase panas badan, dengan selsemanya, masyaAllah. Cuba untuk berfikiran positif, mungkin inilah tandaNya Allah sayangkan kita. Teringat kisah seorang sahabat baginda yang menangis apabila satu hari tu, dia tidak diberi apa-apa ujian seperti dilupakanNya.

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan/ujian) seperti orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang, sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: 'Kapankah datang pertolongan Allah?'. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat" -surah Al-Baqarah, ayat 214-

Bersyukur sangat kita dilahirkan dalam keadaan Islam walaupun kita tidak memilihnya sewaktu diperut ibu. Banyak kita dapat daripada agama Allah ini, dengan panduan hidup yang menjadi mukjizat Rasulullah s.a.w. hingga ke hari ini. Kita tahu apa tujuan penciptaan kita, kita tahu ape matlamat kita, cara-cara mencapainya. Janganlah kita sia-siakan kelebihan yang kita ada.

Dari ceramah pagi tadi, diceritakan macam-macam orang buat kajian untuk mencari faktor kejayaan. Mula-mula orang temui I.Q, kemudian orang jumpa yang lebih baik iaitu E.Q. Masih bukan jawapan yang paling tepat, selepas itu ditemui pula S.Q, Spiritual Quotion. Ditemui 'God Spot' dibahagian otak manusia, membuktikan manusia tidak dapat lari dari mempercayai kepada Tuhan. MasyaAllah.

Dikongsikan pula, mengapa setiap ajaran agama mempercayai bahawa adanya kehidupan selepas kematian ini? Jawapannya, kerana tiada keadilan mutlak dikehidupan ini. Cuba kita bayangkan, sebanyak-banyak dosa yang dilakukan penjenayah, tetapi hukuman bunuhnya tidak dapat membayar nyawa-nyawa yang dibunuhnya. Ada yang orang lain dapat sesuatu lebih baik dari kita. Adilkah? Memang tidak adil, dan sebab ketidakadilan inilah ramai orang percaya bahawa di kehidupan akan datang akan adanya keadilan yang mutlak.

Orang-orang mencari jawapan untuk persoalan didalam jiwa, tapi bagi kita yang beriman, semua jawapan sudah diberi oleh Allah. Dari awal pembentukan kejadian, apa yang akan ditempuhinya, suka-duka kehidupan, dan balasan bagi setiap sesuatu sehingga ke kehidupan yang seterusnya. Kenapa kita tidak menggunakan panduan yang diberikan itu??

"Sungguh, Kami telah datang membawa kebenaran kepada kamu, tetapi kebanyakan diantara kamu benci pada kebenaran itu"
-surah Az-Zukhruf, ayat 78-

Ditegaskan juga, untuk memiliki harga diri yang tinggi, seseorang itu perlu mempunyai harga diri yang positif. Suara hati yang selalu bercakap dengan diri kita yang akan membentuk diri kita. Jika kita selalu fikirkan yang negatif, negatiflah kita. Sebab itu dalam AlQuran, Allah selalu mendidik kita untuk sentiasa ke arah positif. Allah suruh kita selalu mengingatiNya. Sedar tidak sedar, AlQuran inilah motivasi yang paling baik untuk manusia.

"Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan janganlah kamu berasa lemah dan bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman." -surah Ali-Imran, ayat 138-139-

Harap sedikit perkongsian ini dapat sama-sama membuka minda kita untuk sama-sama berfikir dan menjadi insan yang lebih baik, insyaAllah. Mohon teguran jika terdapat kekurangan =)

1 comment: