InsyaAllah post kali ini saya kongsikan satu hadis dari Sahih Bukhari, buat peringatan bersama tentang apa itu Islam, Iman dan Ihsan.
Dikhabarkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya pada suatu hari Nabi s.a.w. duduk bersama-sama jemaah, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki bertanya, "Apakah ertinya iman?"
Jawab Rasulullah s.a.w., "Iman ialah percaya kepada Allah, kepada Malaikat-Nya, kepada Rasul-Nya dan kepada kebangkitan (sesudah mati/ kiamat)"
Tanya orang itu pula, "Apakah ertinya Islam?"
Jawab Nabi s.a.w., "Islam iaitu menyembah Allah dan tidak mempersekutukanNya, menegakkan solat, membayar zakat dan puasa Ramadhan."
Dia bertanya lagi, "Apakah ertinya ihsan?"
Jawab Nabi s.a.w., Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Biarpun engkau tidak melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau."
Tanya orang itu pula, "Bilakah hari kiamat?"
Jawab Nabi s.a.w., "Orang yang ditanya itu lebih tahu dari orang yang menanya. Tetapi akan kuterangkan tanda-tandanya:
1)Apabila budak perempuan melahirkan majikannya, dan
2)Apabila gembala unta telah bermegah-megah dalam gedung yang indah mewah.
Dan kiamat itu salah satu dari lima rahsia yang hanya Allah mengetahuinya."
Kemudian Nabi membaca ayat:
"Hanya Allah yang mengetahui hari kiamat dan turunnya hujan, dan yang mengetahui bayi apa yang didalam rahim ibu, (Allah juga mengetahui) apa yang tidak diketahui orang kerja apa yang akan dilakukannya esok, apa yang tidak diketahui orang dibumi mana dia akan meninggal. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"
-surah Luqman, ayat 34-
Setelah itu orang tersebut pergi. Maka sabda Nabi s.a.w., "Panggillah dia kembali!" Tetapi mereka tidak nampak orang itu lagi. Nabi bersabda, "Itulah Jibril, dia mengajarkan agama kepada umat manusia."
Berdasarkan kitab Fathul Baari tentang penjelasan hadis ini, dinyatakan penjelasan oleh Al-Muzani dan Abu Muhammad al-Baghawi bahawa kata 'Islam' disini sebagai nama setiap perbuatan yang nampak, dan kata 'iman' sebagai nama bagi keyakinan yang tersembunyi didalam hati. Ianya tidak bermaksud kedua-duanya berbeza, tetapi hadis ini menjelaskan bahawa semuanya adalah satu dan penggabungan antara keduanya dinamakan agama.
Dalam erti yang lebih mudah lagi, iman dan amal perbuatan tidak boleh dipisahkan. Jika kita melakukan solat, tetapi kita tidak percaya bahawa ianya perintah Allah dan RasulNya, maka kita tidak dikatakan beriman. Begitu juga sebaliknya, jika kita beriman tetapi kita tidak lakukan apa yang diperintahkan oleh Allah, maka kita tidak dikatakan islam.
Seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini, baginda mengingatkan kita supaya dalam beribadat kepada Allah, khusyukkan diri kita dengan mengingat Allah saja dan lupakan semua urusan dunia. Memang tidak senang untuk mendapat solat yang khusyuk, tetapi jika kita usaha kearah itu, insyaAllah kita akan dapat merasai ihsan itu.
Diakhir hadis ini, Jibril bertanya tentang kiamat. Rasulullah s.a.w. juga tidak tahu bilakah kiamat itu, tetapi yang baginda tahu hanyalah tanda-tandanya. Banyak hadis-hadis yang menceritakan tanda-tanda ini. Tentang bila itu, semuanya urusan Allah, jangan percaya dengan sebarang ramalan manusia, tapi yakinlah bahawa janji Allah itu sudah dekat. Jadi apa yang kita boleh lakukan ialah memperbaiki lagi diri kita, perbanyakkan amalan sebagai persiapan menghadapi kiamat.
InsyaAllah, semoga post yang serba ringkas ini dapat mengingatkan diri yang pelupa ini, juga perkongsian buat rakan-rakan agar kita sentiasa ingat. Wallahu'alam =)
hadis tu biasa kita dengar kan..
ReplyDeleteyup...saja nak memperingatkan diri....
ReplyDelete