Sunday, January 17, 2010

Perlindungan

InsyaAllah untuk post kali ini, saya kongsikan tafsir mengenai surah al-Nas yang saya petik dari Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah al-Zuhaily. Surah al-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas digunakan oleh Nabi s.a.w. untuk memohon perlindungan Allah dari sihir Yahudi, perlindungan dari sifat munafik, juga digunakan untuk berubat. Baginda selalu mengamalkan ketiga-tiga surah ini, jadi saya tergerak untuk berkongsikan tafsir bagi surah terakhir ini.

"Katakanlah (wahai Muhammad), aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia, Raja manusia, Sembahan manusia,
dari kejahatan (bisikan) syaitan yang sentiasa bersembunyi,
yang membisikkan (kejahatan) di dada manusia,
dari kalangan jin dan manusia."

-surah Al-Nas, ayat 1-6-

Dalam tiga ayat pertama, dinyatakan tiga sifat Allah iaitu Tuhan Pemelihara (Rububiyyah), Penguasa dan Tuhan yang dipuja (Ilahiyyah). Dialah pemilik segala-galanya. Semua makhluk dicipta oleh-Nya. Kita semua adalah kepunyaan dan hamba kepada Allah. Diulang-ulang perkataan "manusia" dalam surah ini ialah untuk menambahkan lagi penerangan dan penjelasan tentang martabat manusia sebagai makhluk Allah yang mulia.

"dari kejahatan (bisikan) syaitan yang sentiasa bersembunyi" ertinya berlindunglah kepada Allah dari godaan syaitan yang sentiasa menimbulkan was-was, yang tidak nampak oleh mata biasa manusia kerana sifatnya yang licik. Sekiranya manusia mengingati Allah, syaitan akan mundur dan menjadi lemah. Jika manusia lupa pada Allah, maka ia mula membesar dan bermaharajalela di dalam hati manusia.

Ibnu Abbas mentafsirkan ayat ini dengan katanya, "Syaitan duduk bergayut di dalam hati manusia. Apabila manusia lupa dan lalai (mengingati Allah), dia akan membisikkan (kejahatan). Tetapi apabila disebut nama Allah, dia terdiam dan mengecut."

Abi Tamimah meriwayatkan dari seorang yang ikut membonceng seekor keldai bersama rasulullah s.a.w, katanya:
"Keldai Nabi jatuh terpelecot, aku pun berkata 'Celaka syaitan." Baginda lantas bersabda, "Jangan kamu kata celaka syaitan. Sekiranya kamu berkata begitu, dia (syaitan) semakin membesar dan dia akan berkata, 'Aku kacau dia dengan kekuatanku', tetapi sekiranya kamu ucapkan, 'Dengan nama Allah,' syaitan akan semakin mengecil sehingga menjadi seumpama lalat."
-riwayat Imam Ahmad (disahihkan oleh Sheikh Al-Albani dalam Sahihul Jaami)-

"Yang membisikkan di dada manusia", menunjukkan bahawa syaitan selalu membisik keinginan yang tidak elok di hati manusia. Disebut dada kerana ia merangkumi hati. "Dari kalangan jin dan manusia", menunjukkan bahawa syaitan itu terdiri daripada manusia dan juga jin.

Firman Allah (bermaksud), "Demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh, iaitu syaitan manusia dan syaitan jin. Sebahagian mereka mengilhamkan kepada sebahagian yang lain kata-kata manis sebagai godaan."
-surah Al-An'am, ayat 112-

Seperti yang pernah saya tuliskan dalam post sebelum ini, terlalu banyak godaan-godaan syaitan pada masa kini. Syaitan tidak semestinya berbisik seperti yang kita fikir-fikirkan, tetapi dengan menggunakan pelbagai helah seperti hiburan, kekayaan, pangkat dan pujian. Kita dapat perhatikan dengan sendiri, bagaimana manusia sekarang begitu mengejar-ngejar kemewahan dunia, dan kita dapat perhatikan bagaimana akhlak manusia turut runtuh.

Semakin leka manusia dengan tujuan sebenar penciptaan mereka, semakin seronok syaitan, kerana manusia sudah dilalaikan. Bukan sahaja syaitan jin yang kita tidak dapat lihat, tetapi juga syaitan manusia yang seronok melihat agama Islam ini runtuh.

Didalam video The Arrivals, diterangkan bagaimana 'gerakan' syaitan ini melakukan kerja-kerja mereka. Mereka menjajah sesuatu negara, kemudian mereka tinggalkan kesan-kesan mereka, bentuk pemikiran mereka dan sebagainya. Media merupakan saluran yang paling baik untuk mereka melalaikan manusia. Mereka tunjukkan 'kebaikan-kebaikan' mereka, dan manusia menerimanya kerana cara hidup mereka yang 'menyeronokkan'. Lama-kelamaan manusia akan lupa dengan perintah Allah Taala.

Oleh sebab itu, sama-samalah kita minta perlindungan pada Allah dari godaan-godaan syaitan. Amalkan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan Al-Nas setiap kali lepas solat sebagaimana diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir, "Rasulullah telah menyarankan kepadaku agar membaca setiap lepas solat tiga surah al-Muawwizat."
-riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Nasa'i-

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, jadi sama-samalah kita sampaikan ilmu yang baik dan benar kepada orang-orang disekeliling kita, InsyaAllah.
FOM Ads

No comments:

Post a Comment