Semua umat Islam bermazhab, akan tetapi hanya sebilangan kecil daripada kita yang tahu cara dan syarat bermazhab. InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin kongsikan sebuah buku yang bagus dan menarik, iaitu mengenai bermazhab dalam Islam. Bagi diri saya, perkara ini perlu kita fahami dengan jelas agar tiada perselisihan berlaku dan umat Islam dapat bersatu semula dijalan kebenaran.
Saya ingin mencadangkan sebuah buku yang bertajuk "Pedoman-pedoman Bermazhab dalam Islam" yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah, keluaran Jahabersa. Penjelasannya sangat mudah untuk difahami, dan disertakan juga rujukan bagi setiap isi yang disampaikan. Rakan-rakan boleh cuba mencarinya di kedai buku ataupun membacanya menggunakan link e-book yang saya sertakan.
E-Book
www.jahabersa.com.my
Bahagian pertama dalam buku ini diterangkan secara ringkas dan padat mengenai sejarah kemunculan mazhab. Dari memahami sejarah ini, kita akan dapati betapa pentingnya mazhab dalam mengembalikan umat Islam kepada ajaran yang sebenar, iaitu berpandukan Al-Quran dan Hadis. Ini kerana umat Islam pada kurun kedua hijrah sudah mula menyimpang dari nilai-nilai Islam yang sebenar.
Munculnya imam-imam mazhab ketika itu adalah sebagai punca sumber ilmu pengetahuan. Mereka menyampaikan ilmu-ilmu berdasarkan Al-Quran dan Hadis dalam menaikkan semula martabat agama Islam. Mereka semuanya berpegang pada prinsip Ahli Sunnah Wa al-Jamaah, cuma terdapat sedikit perbezaan dari sudut fiqh.
Perbezaan yang wujud hanyalah berkisar pada perkara-perkara furu' (cabang), dan bukannya usul (asas) keislaman. Perkara ini terjadi kerana setiap imam itu mempunyai penafsiran yang berbeza tentang sesuatu dalil. Faktor kedua adalah kerana hadis-hadis yang mereka perolehi agak terhad dengan keadaan masyarakat ketika itu, maka mereka mengeluarkan pendapat dan hukum berpandukan hadis yang mereka sempat terima.
Jika kita lihat, umat Islam masa kini kebanyakannya berpecah kerana perkara furu' ini. Masalahnya timbul bukan kerana imam mazhab, tetapi oleh pengikut-pengikut sesuatu mazhab tersebut. Didalam buku ini diterangkan dengan baik mengenai syarat-syarat dalam bermazhab, bolehkah kita bertukar-tukar mazhab, mengikut salah satu ataupun meninggalkan semua ajaran mazhab tersebut. Kita juga perlu mengetahui bagaimana imam-imam mazhab ini menyelesaikan masalah perbezaan pendapat tersebut.
Al-Sya'rani rahimahullah menerangkan, "Tujuan yang ingin dicapai oleh para imam mazhab ialah menjelaskan kepada manusia apa yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum kerana kebanyakan ahli masyarakat tidak mampu memahami dalil-dalil al-Quran dan Hadis secara langsung."
Antara kelemahan masyarakat sekarang ialah kita mudah melabel seseorang itu salah maupun sesat. Begitu juga dalam konteks bermazhab, kita juga tidak boleh menghukum imam mazhab itu salah apabila terdapat kesilapan dalam kesahihan hadis yang dia temui. Para imam mazhab berwasiat kepada umat Islam dengan wasiat yang masyhur, "Apabila sesuatu hadis itu sahih, maka itulah mazhab aku." Jika terdapat ulama' hadis menemui hadis yang lebih sahih untuk sesuatu hukum itu, maka kita gunakanlah hadis itu.
Taqlid terhadap sesuatu hukum tanpa mengetahui dalil-dalilnya merupakan salah satu kelemahan yang membawa kepada kejatuhan umat Islam. Kita semua perlu cuba sedaya mungkin dalam memahami setiap hukum itu, dalil Al-Quran mahupun Hadis yang menerangkannya. Kita perlu berlapang dada jika kita menemui hadis yang kedudukannya lebih baik daripada hadis yang kita amalkan sebelumnya, inilah sebenarnya wasiat para imam mazhab.
Berkata al-Syafie, "Sesuatu sunnah daripada Rasulullah s.a.w. kemungkinan akan sampai atau tidak kepada seseorang itu. Maka apabila saja aku menghuraikan pendapatku atau merumuskan sesuatu prinsip, dan pada waktu sama wujud satu hadis yang sah dari Nabi s.a.w. yang menerangkan sebaliknya, maka pendapat yang betul itu adalah apa yang Nabi katakan, dan demikianlah juga akan menjadi pendapat aku."
InsyaAllah, buku ini akan menerangkan dengan lebih baik lagi mengenai persoalan-persoalan yang sering timbul mengenai mazhab. Semoga rakan-rakan yang masih keliru tentang perkara ini bolehlah cuba memahami buku "Pedoman-pedoman Bermazhab dalam Islam", agar kita keluar dari kepompong dan membentuk umat Islam yang berilmu. Sama-sama kita kaji dan ambil yang baik, sesungguhnya setiap manusia ada kelemahan, hanya Allah Yang Maha Mengetahui tiap sesuatu.
No comments:
Post a Comment