Friday, December 3, 2010

Islam yang utama


يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ
قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا
فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ


Umar Al-Khathab diatas mimbar berkata; saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semua perbuatan bergantung pada niatnya, dan (balasan) bagi setiap orang (bergantung) pada apa yang diniatkan; Barangsiapa niat hijrahnya kerana dunia yang ingin digapainya atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia niatkan."
-sahih, riwayat Bukhari-

Sebuah hadis yang cukup dikenali, malah diletakkan sebagai hadis pertama dalam banyak kitab-kitab hadis. Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Baidhawi berkata, niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau mudarat. (Fathul Baari)

Setiap perbuatan kita, samada dari segi kata-kata, tulisan mahupun perbuatan fizikal, pasti mendasarkan atas suatu niat atau tujuan. Maka atas niat itu Allah menilai perbuatan hamba-hambaNya. Namun perlu kita ingat, bahawa niat yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang berdosa dan dilarang Allah. Begitu juga perbuatan yang baik, apabila kita niatkan atas sesuatu yang tidak baik, maka kita tidak akan dapat manfaatnya malah mungkin mengundang dosa.

Penggunaan blog contohnya, merupakan suatu perkara yang umum, boleh digunakan untuk sesuatu perkara yang baik dan juga sebaliknya. Maka sebagai seorang pengguna blog, kita perlu perhatikan semula apakah tujuan sebenarnya kita membuat blog, adakah sekadar mencoret cerita peribadi, menghiburkan pembaca dengan lawak-lawak, memberi kritikan atas sesuatu, atau untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Begitu juga dengan niatnya, adakah kerana Allah ataupun sekadar memenuhi keinginan diri.

Abu Musa berkata, "Wahai Rasulullah, Islam manakah yang lebih utama?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Seorang muslim yang menyelamatkan Kaum Muslimin lainnya dari bencana akibat perbuatan lidah dan tangannya"
-sahih, riwayat Bukhari-

Al-Khathabi mengatakan bahawa Muslim yang paling utama adalah Muslim yang mampu melaksanakan semua kewajipannya untuk memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak sesamanya (Fathul Baari). Dalam ayat mudahnya, seorang Muslim itu perlu memenuhi haknya dengan Muslim lain dengan saling mengingati dan menegur, agar dengan itu semua Muslim akan terjaga kata-kata dan perbuatannya dari maksiat dan dosa.

Oleh itu, marilah kita manfaatkan setiap masa dan peluang yang ada untuk saling mengingati dan membawa saudara kita ke jalan yang diredhai Allah. Gunakan facebook dan blog kita untuk berdakwah, mahupun berkongsi ilmu yang bermanfaat, dan bukannya untuk perbualan dan perbuatan yang sia-sia, malah dilarang oleh Allah Taala. Allahu'alam... ^^

No comments:

Post a Comment